5 Amalan Untuk Perbaiki Ramadan Kali Ini
Kita meninggalkan Ramadan tahun lepas dengan harapan dapat bertemunya lagi. Alangkah beruntungnya antara kita yang dapat berjumpa Ramadan yang bakal menjelang pada tahun ini. Amalan Untuk Perbaiki Ramadan Kali Ini
Tetapi adakah Ramadan kali ini sama seperti Ramadan yang lalu? Semestinya kita ingin perbaiki dan perbanyakkan amalan baik untuk Ramadan kali ini.
Jadi mari kita lihat bagaimana Ramadan disambut dan apa yang boleh kita lakukan untuk menyatakan kegembiraan kita menyambut kedatangan bulan mulia ini.
Marhaban ya Ramadhan! 5 Amalan Untuk Perbaiki Ramadan
Bulan mulia di mana segala amalan akan menjadi ibadah dan tentunya pahala digandakan. InsyaAllah. Pasti ramai yang tidak sabar untuk menyambut bulan istimewa ini.
Namun sayangnya, walaupun tidak sabar menanti kedatangannya, hanya segelintir sahaja yang benar-benar sedang menyiapkan perkara penting menjelang kedatangan Ramadhan.
5 amalan untuk perbaiki Ramadan yang bakal dikongsikan ini sering dilupakan, namun jika kita sudah bersedia dari sekarang, ia akan memberi kesan yang cukup bermakna sepanjang bulan Ramadan nanti.
1. Perbetulkan niat
Yang pertama sekali, orang yang akan menyambutnya perlu memperbaiki niat. Umat Islam tahu bahawa Bulan Ramadan adalah satu-satunya bulan dengan satu ibadah wajib istimewa, iaitu berpuasa.
Tetapi mari ubah pemikiran itu dengan meletakkan mentaliliti; “Bagaimana kalau Ramadan kali ini adalah yang terakhir untuk aku?” Sudah tentu kita akan menyiapkan diri untuk memastikan Ramadan ini menjadi bulan paling istimewa dan fokus beribadah.
Jangan lupa, bulan Ramadan juga digalakkan untuk memperbanyakkan sunnah lain kerana pahala yang dijanjikan berlipat kali ganda.
Cara menyambut Ramadan bukan hanya ibadah semata-mata. Tetapi dengan niat yang betul dan ikhlas. Ikhlaskan hati dalam beribadah, insya-Allah akan terasa kemanisan dalam setiap ibadah yang kita lakukan.
Firman Allah SWT:
وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ
Maksudnya: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya”.
(Surah Al-Bayyinah: 5)
Marilah sama-sama berusaha mencari redha Allah dengan mengikhlaskan niat pada bulan Ramadan tahun ini. Semoga usaha untuk mengubah niat dan mind set ini pada bulan Ramadan tetap terkira pahalanya.
2. Banyakkan berdoa amalan untuk perbaiki ramadan
Ini adalah salah satu ibadah yang dianggap “kecil”. Tetapi seperti yang dikata-katakan, “Doa adalah senjata seseorang Muslim”. Percayalah kepada kekuatan doa.
Doa tidak semestinya dalam bahasa Arab yang biasa dilakukan selepas solat. Tetapi, jika dijadikan doa sebagai wadah untuk mengadu kepada Allah SWT, dalam apa-apa bahasa pun boleh.
Apa fungsi doa? Tidak lain tidak bukan hanyalah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Walaupun umum mengetahui bahawa Tuhan mengetahui setiap luahan hati, tetapi dengan usaha untuk tetap meluahkan kepada Allah, setiap doa akan lebih menenangkan dan ikhlas.
Siapa tahu mungkin berdoa apabila penat berpuasa akan dimakbulkan. Atau apabila sedang menahan marah lalu berdoa kepada Tuhan, mungkin doa itu akan dimakbulkan.
Tiada siapa yang tahu bila masa sebenar Allah makbulkan doa. Jadi, banyakkan berdoa dan jangan tunggu hanya waktu tertentu sahaja. 5 Amalan Untuk Perbaiki Ramadan Kali Ini
Biasakan mengadu kepada Allah. Allah suka hambanya yang mengadu hati kepada-Nya. InsyaAllah Allah akan bantu dengan mendatangkan ketenangan jiwa atau pertolongan dari kawan-kawan yang baik.
3. Banyakkan membaca Al-Quran
Ramadan adalah bulan yang mulia. Cara lain untuk menyambut Ramadan ialah dengan membaca Al-Quran.
Tahukah anda Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan? Ayat Al-Quran pertama yang diturunkan adalah dari Surah Al-Alaq. Surah yang menyeru umat Islam untuk membaca.
ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ
Maksudnya: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan”.
(Surah Al-Alaq: 1)
5 ayat pertama surah Al Alaq ini diturunkan saat malam Lailatul Qadar dalam bulan suci Ramadan. Saat itu, Nabi Muhammad SAW menggigil disertai gemetar di dalam Gua Hira ketika ayat ini diajarkan oleh Malaikat Jibril.
Malam diturunkan ayat pertama ini disebut dengan malam Nuzulul Quran (turunnya Al-Quran). Kebiasaan umat Islam, malam tersebut diperingati dan dirayakan sebagai tanda rasa syukur atas kurniaan wahyu dari Allah berupa Al-Quran.
Istimewa bukan? Perintah pertama ialah membaca. Maka marilah kita sahut seruan ini dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran. 5 Amalan Untuk Perbaiki Ramadan Kali Ini
Jika sebelum ini kita mengamalkan 2 muka surat sehari selepas solat maghrib, apa kata tambah 1-2 lagi muka surat sehari baca selepas solat sunat tarawih.
Lagipun, pahala membaca al-Quran ialah 10 pahala untuk 1 huruf. Apatahlagi pada bulan Ramadhan, pahalanya juga digandakan. InsyaAllah.
Sesungguhnya bulan Ramadan adalah bulan yang berganda baik untuk beramal dan menambah saham akhirat.
4. Sedekah dan memberi makan
Daripada Zaid bin Khalid, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا
Maksudnya: “Siapa yang memberi makan berbuka kepada orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang berpuasa tanpa kurang sedikitpun pahala orang berpuasa itu.”
Secara ringkasnya, orang yang menyediakan makanan orang berbuka puasa insyaAllah akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa juga. 5 Amalan Untuk Perbaiki Ramadan Kali Ini
Berdasarkan hadis di atas jelas menunjukkan kelebihan bagi mereka yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, apatah lagi mereka yang amat memerlukan seperti anak-anak yatim, fakir miskin dan golongan yang berhajat.
Kisah yang boleh dicontohi dan diambil pengajaran daripada sikap dan sifat tokoh ulama dalam memberi makan orang yang berpuasa:
- Hasan Al-Basri memberi makan saudaranya sedangkan dia berpuasa sunat dan duduk melayan mereka ketika mereka makan.
- Abdullah Bin al-Mubarak memberi makan kepada saudaranya ketika bermusafir dengan makanan yang lazat, sedangkan dia berpuasa.
- Hammad menjamu setiap malam kepada orang ramai pada bulan puasa seramai 500 orang.
- Abdullah bin Umar R.A berpuasa dan tidak berbuka kecuali bersama dengan fakir miskin.
Dengan bersedekah iaitu memberi makan orang berbuka ada fadilatnya sendiri. Bukan hanya kepada penerima yang berpuasa tetapi juga pemberi.
Semoga kita sentiasa menjadi hamba Allah yang suka menjamu mereka yang berpuasa.
5. Menghidupkan malam dengan ibadah
Menghidupkan malam Ramadan dengan pelbagai amal ibadah kepada Allah SWT hukumnya adalah sunat muakkadah (dituntut).
Rasulullah SAW bersungguh- sungguh dalam beribadat apabila tibanya Ramadan, begitu juga diamalkan oleh para Khulafa’ Rasyidin dan juga para sahabat yang lain.
Sewajarnya setiap daripada kita sentiasa merebut peluang untuk perbanyakkan ibadah pada malam-malam di bulan Ramadan yang penuh dengan kelebihan antaranya menjadi penghapus dosa yang lalu.
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa mendirikan Ramadan (menghidupkan malam dengan solat sunat, tilawah, iktikaf, zikir dan lain-lain ) kerana iman dan penuh keikhlasan (mengharap rahmat Allah), maka diampuni dosanya yang lalu”
(HR Bukhari No: 36)
Menghidupkan malam dengan solat tarawih merupakan satu juzuk daripada menghidupkan atau mendirikan malam Ramadan. Selain itu, kita juga dituntut agar memperbanyakkan ibadah-ibadah yang lain seperti solat-solat sunat, berzikir, membaca Al-Quran, beristighfar dan lain-lain lagi.
Hal ini semua termasuk di dalam perkara yang menghidupkan dan mendirikan malam-malam Ramadan.
Mungkin antara kita tidak berkesempatan melakukan ibadah-ibadah tersebut di masjid, tetapi masih boleh menghidupkan malam Ramadan di rumah bersama keluarga seperti bertadarus Al Quran.
Rebutlah peluang menambah pahala di bulan ini dengan menambahkan ibadah. Sesungguhnya golongan soleh terdahulu menyambut Ramadan dengan bertaubat kepada Allah dan mengerjakan ketaatan, memperbaiki diri dan bersungguh-sungguh dalam beribadah.
Semoga Ramadan tahun ini lebih bermakna. InsyaAllah