7 Manfaat Ikhlas yang boleh diamalkan
Islam mengajar umatnya untuk bertindak ikhlas dalam semua tindakan mereka. Perbuatan ikhlas ini banyak faedahnya di dunia dan di akhirat. Namun, apakah 10 Manfaat Ikhlas Dalam Segala Aspek Kehidupan yang boleh diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari?
Ikhlas bermaksud melakukan sesuatu kebaikan atau kebaikan untuk mendapat keredhaan Allah SWT semata-mata. Sifat ini menjadi syarat Allah SWT menerima ibadah yang kita lakukan.
Allah SWT akan menerima ibadah yang dilakukan sekiranya dituruti dengan niat yang ikhlas dan bertepatan dengan hadis yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Kedua-dua syarat ini merupakan asas kepada mana-mana ibadah yang diterima oleh Allah SWT.
Ibadah mestilah tanpa faktor atau sebab lain, dan mesti mengikut panduan berdasarkan wahyu Rasulullah SAW. Ikhlas itu datang dari hati yang bersih dan jujur untuk mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT.
Adakah kualiti ibadah kita sama ketika bersendirian dengan ketika berada di khalayak ramai? Mohonlah petunjuk dan bimbingan daripada Allah SWT supaya kita termasuk dalam golongan yang beriman dan beramal dengan penuh keikhlasan.
Untuk mendapatkan keikhlasan, memerlukan hati yang bersih. Bagaimana pula caranya untuk membersihkan hati?
Antaranya, tambahkan zikir dan selawat, ingatkan diri supaya ikhlas, tidak bergantung kepada makhluk semata, bertasbih kepada Allah SWT dan istiqamah melakukan ibadah kepada Allah SWT.
Sesuatu amalan yang dianggap besar nilainya di mata manusia belum tentu bernilai di sisi Allah SWT sekiranya ia dilakukan tanpa niat yang ikhlas.
Ikhlas itu letaknya di hati. Ia menjadi dasar penilaian Allah SWT terhadap amalan hamba-hamba-Nya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah SWT melihat kepada hati dan amalan kamu.”
Ikhlas menjadi kunci ketaatan seorang mukmin
Ikhlas merupakan amalan hati yang perlu diberi perhatian khusus secara mendalam dan dilakukan secara berterusan. Baik ketika hendak beramal, sedang beramal, maupun ketika sudah beramal. Hal ini dilakukan agar amalan yang dilakukan bernilai di hadapan Allah SWT dan secara tidak langung kita dapat manfaat ikhlas itu sendiri dalam kehidupan.
1. Ikhlas adalah perintah daripada Allah SWT.
Untuk mendapatkan keredhaan dan keberkatan dalam setiap amalan dan ibadah yang dilakukan, seseorang mukmin itu diwajarkan melakukan segala perintah Allah SWT bertepatan dengan firman-Nya dalam Surah Az-Zumar (Ayat 11) bermaksud: Katakanlah lagi wahai Muhammad: “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadah kepada-Nya.”
2. Ikhlas menjadi syarat ibadat diterima Allah SWT.
Apa yang membezakan iman seseorang itu adalah sejauh mana keikhlasan yang terdapat pada dirinya dalam melakukan suatu ibadah. Firman-Nya dalam Surah Ghafir (Ayat 14) bermaksud: “Maka sembahlah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, sekalipun orang kafir tidak menyukai amalan kamu itu.”
3. Ikhlas memberi ketenangan.
Salah satu kelebihan mengikhlaskan diri dalam berbuat ibadah adalah tenang.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Fath (Ayat 18) bermaksud: “Demi sesungguhnya! Allah SWT reda akan orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahui-Nya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Dia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya.”
4. Ikhlas menjauhkan diri daripada sifat riak (menunjuk-nunjuk).
Agama Islam menuntut umatnya agar memiliki sifat-sifat yang terpuji kerana adanya sifat terpuji dalam diri dapat menghapuskan sifat-sifat keji seperti riak.
Setiap perbuatan yang kita lakukan dengan tujuan untuk mendapatkan sanjungan, walaupun kita sanggup berjihad mengorbankan nyawa dan harta, akan tetapi jika dilakukan dengan niat untuk mendapatkan pujian dan penghargaan, Allah SWT tidak akan memandangkan sebagai pahala, sebaliknya Allah SWT akan menempatkan dan mencampakkan orang sedemikian ke dalam neraka. Nauzubillahi Minzalik.
5. Ikhlas menjauhkan diri daripada sifat munafik.
Hati yang ikhlas melahirkan akhlak yang sebenar.
Sifat munafik merupakan antara penyakit yang bahaya dalam kalangan umat Islam. Boleh menjadi musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan.
Oleh itu, jauhilah sifat kepura-puraan dengan mengikhlaskan hati dalam setiap perbuatan kerana sifat keji ini merosakkan dasar keimanan dan amalan kebaikan seseorang muslim.
Bagaimanapun, kebanyakan kita meremehkan sifat ikhlas. Kemungkinan ia sangat sulit dilakukan kerana untuk bersikap ikhlas, seseorang itu perlu menyingkirkan sifat angkuh dalam dirinya terlebih dahulu.
Hikmah di sebalik keikhlasan:
- Melaksanakan ibadah dengan taat atas perintah Allah SWT semata-mata.
- Membersihkan diri daripada hawa nafsu duniawi, godaan syaitan dan segala unsur penyakit hati seperti riak, sombong dan terlalu cintakan harta serta pangkat.
- Dapat jaminan pertolongan daripada Allah SWT dan mendapat perlindungan di hari kiamat.
- Terhindar daripada perkara-perkara negatif.
- Allah SWT mengurniakan ketenangan dan ketenteraman hatinya.
- Dapat pengampunan dosa yang dilakukan dan dipermudahkan jalan menuju ke syurga.
- Doanya akan dikabulkan kerana mengharapkan kebaikan daripada Allah SWT sesuai dengan niatnya yang baik.
10 manfaat ikhlas dari buku Memaknai Kehidupan oleh Abdul Hamid:
1. Mendapat pahala daripada Allah SWT
2. Hati menjadi tenang dan ibadah menjadi lancar
3. Menjadi manusia yang pemaaf
4. Tidak mudah marah dan tidak diperdaya oleh amarah
5. Selalu disayangi dan disenangi orang lain
6. Dijauhkan dari sifat-sifat kotor seperti ujub, takabur, dan iri
7. Hati selalu lapang dan terasa ringan dalam menjalani hidup
8. Selalu bersyukur atas nikmat yang diberikan Allah SWT dan menerima Qada dan Qadar Allah
9. Menjadi sosok yang hebat dan kuat
10. Mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT
Sahabat hikmah, sebagai hamba Allah sudah sepatutnya kita menjalankan segala perintah-Nya dengan penuh keikhlasan dan semata-mata hanya untuk mencapai redho-Nya.
Justeru itu, setiap ibadah yang dilakukan perlulah dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT kerana Dialah yang memberi segala manfaat ikhlas dalam kehidupan, nikmat kebahagiaan dan ketenangan hidup selagi kita menurut perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya.